Friday, October 2, 2009

Dahulukan puasa enam atau layan keluarga?

Soalan: Sempena hariraya, anak cucu saya pulang ke rumah. Selepas hariraya pertama ( 1 syawal) saya terus mula berpuasa enam. Isteri saya bersungut, katanya anak-anak balik dari jauh nak makan bersama-sama sedangkan saya berpuasa. Dia menyuruh saya berbuka sebab syawal masih banyak hari lagi, anak-anak pula cuti mereka pendek mereka hanya sempat beberapa hari sahaja bersama kami. Saya pula takut kehilangan fadhilat puasa enam syawal, apa yang patut saya lakukan. Jika saya berbuka nanti saya tidak dapat ‘raya puasa enam’. Minta huraian Dr..

Jawapan:

Ada beberapa perkara yang perlu disentuh mengenai soalan di atas;

Pertama: Adapun sunat puasa enam hari pada Bulan Syawwal, bukanlah terhad setakat enam hari berturut-turut selepas hariraya, sebaliknya enam hari pada Bulan Syawwal samada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut dianggap sebagai memenuhi maksud hadis:

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim).

Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘ثم أتبعه’ (kemudian dia susulinya), namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa mana-mana enam hari dengan niat sunnah tersebut dalam Bulan Syawwal. Inilah yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim.

Kedua: Seseorang yang berpuasa sunat dibolehkan berbuka apabila dia mahu. Bahkan, digalakkan berbuka jika itu dapat menguatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan atau menjaga perasaan orang lain. Ini seperti hadis Abi Sa’id al-Khudri, katanya:

صنعت لرسول الله صلى الله عليه و سلم طعاما فأتاني هو وأصحابه فلما وضع الطعام قال رجل من القوم : إني صائم فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : دعاكم أخوكم وتكلف لكم ثم قال له : أفطر وصم مكانه يوما إن شئت

(Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).

Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: دعاكم أخوكم وتكلف لكم ثم تقول إني صائم (saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!).

Ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu patut diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawwal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka eloklah ditangguhkan puasa tersebut jika hari-hari pada Bulan Syawwal masih banyak. Pada zaman ini, cuti yang terhad, waktu pertemuan sesama keluarga juga terbatas oleh kesibukan dan urusan yang berbagai, maka amalkanlah galakan Nabi s.a.w ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.

Ketiga: tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Apatahlagi jika ia diiringi dengan ibadat khusus seperti solat tasbih sempena hariraya puasa enam yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).

Allah Lebih Mengetahui;

2 comments:

  1. assalamu'alaikum, kalo perempuan di bln romadhon terkadang tidak bisa penuh puasanya, karena ada hari dimana dia menstruasi. pertanyaannya:1)kalo dia mo ganti puasanya, apakah hari itu harus ijin suami?seperti kalo b'puasa sunnah!
    2)kalo tidak ijin suami,pada hari itu suami minta batalkan puasanya untuk diganti esok harinya, maaf,karena sebab suami minta "dilayani". apa yang sebaiknya dilakukan?? jazakumullah

    ReplyDelete
  2. selamat hr rye dan maaf zahir batin
    :)

    ReplyDelete

Assalammualaikum, sila tinggalkan komen anda jika ada. Atas sebab masa & tuntutan kerja kemungkinan komen anda tidak dapat dijawab oleh saya. Harap maklum. Jazakallah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails